Khamis, April 26, 2018

RAUF YANG DISEBUT BAKAL KETUA MENTERI MELAKA TIDAK KECEWA TIDAK DICALONKAN

ALOR GAJAH, 25 April (Bernama) -- Pemimpin yang berjiwa besar akan terus membantu Barisan Nasional (BN) walaupun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemimpin seperti Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah terus bekerja keras membantu rakan-rakan dalam BN untuk menang dalam PRU14 walaupun beliau tidak dicalonkan bertanding.

"Pemimpin seperti Datuk Rauf tidak bertanding, tidak marah, tidak tutup bilik gerakan. Inilah pemimpin jiwa besar, terus bantu kawan-kawan di peringkat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri).

"Ini kali dia tolong kawan-kawan, lain kali kawan-kawan kena tolong dia menang. Dia bekerja keras di ibu pejabat UMNO anjur majlis besar seperti pelancaran manifesto BN, dia seorang yang amat komited," kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama penduduk Kampung Paya Mengkuang di Masjid Tanah di sini.

Turut hadir Ab Rauf dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon BN Parlimen Masjid Tanah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan BN sentiasa memberikan layanan sama rata tanpa mengira kaum terutamanya dalam bidang pendidikan dalam usaha memajukan rakyat di negara ini.

Beliau berkata kerajaan BN amat prihatin dalam memberikan kemudahan pendidikan kepada kaum Cina dengan meluluskan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu dan bantuan disalurkan kepada SJKC sedia ada.

"Saya minta kaum Cina jangan dengar cakap pembangkang bahawa kerajaan BN hanya kenakan cukai serta lakukan perkara tidak adil kepada mereka.

"Kerajaan BN dalam Manifesto BN menjelang PRU-14 yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib (Tun Razak) pada 7 April lepas menyediakan 364 inisiatif untuk pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum," kata beliau.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan beberapa kemudahan untuk penduduk Kampung Paya Mengkuang termasuk alat pendingin hawa dewan masyarakat, pembinaan balai raya, taman permainan kanak-kanak, tanah perkuburan Cina dan naik taraf sistem komputer.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan BN sentiasa memberikan layanan sama rata tanpa mengira kaum terutamanya dalam bidang pendidikan dalam usaha memajukan rakyat di negara ini.

Beliau berkata kerajaan BN amat prihatin dalam memberikan kemudahan pendidikan kepada kaum Cina dengan meluluskan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu dan bantuan disalurkan kepada SJKC sedia ada.

"Saya minta kaum Cina jangan dengar cakap pembangkang bahawa kerajaan BN hanya kenakan cukai serta lakukan perkara tidak adil kepada mereka.

"Kerajaan BN dalam Manifesto BN menjelang PRU-14 yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib (Tun Razak) pada 7 April lepas menyediakan 364 inisiatif untuk pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum," kata beliau.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan beberapa kemudahan untuk penduduk Kampung Paya Mengkuang termasuk alat pendingin hawa dewan masyarakat, pembinaan balai raya, taman permainan kanak-kanak, tanah perkuburan Cina dan naik taraf sistem komputer.

-- BERNAMA

KU NAN BERANI ARAH MYPPP PECAT KAYVEAS TETAPI TIDAK BERANI PECAT AHMAD SAID

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy hari ini berkata Tan Sri M. Kayveas dipecat daripada parti itu semalam.

Ketika dihubungi Bernama di sini, Mohan berkata pemecatan itu yang berkuat kuasa serta-merta dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) MyPPP selepas mendapati Kayveas mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta Barisan Nasional (BN).

Terdahulu hari ini, Kayveas mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Presiden MyPPP selepas memegang jawatan itu lebih dua dekad, berkuat kuasa Isnin, menerusi catatan pada laman Facebook dan Twitter beliau.

Mengulas lanjut, Mohan berkata keputusan memecat Kayveas dicapai sebulat suara dalam mesyuarat MT parti malam semalam.

"Keputusan ini dibuat susulan penemuan jawatankuasa disiplin parti (berhubung Kayveas bertindak di luar kepentingan parti) malam tadi. Kayveas tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau menghadiri mesyuarat dengan anggota parti," katanya.

Mohan berkata buat masa ini parti akan diterajui oleh Naib Presiden Kanan Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz selaku pemangku presiden.

Mengulas lanjut, Mohan berkata tindakan disiplin terhadap Kayveas diambil selepas parti menerima surat daripada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan Kayveas dikenakan prosiding disiplin kerana membuat keputusan unilateral berhubung agihan kerusi.

Ditanya sama ada MyPPP menerima surat peletakan jawatan daripada Kayveas, Mohan berkata: "Tiada sebarang notis diterima secara rasmi. Namun saya diberitahu beliau mengumumkan peletakan jawatannya itu menerusi catatan dalam media sosial Facebook dan Twitter."

Menurutnya Kayveas membuat keputusan secara unilateral berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bertindak sendiri tanpa berbincang dengan MT. "Jawatankuasa disiplin mendapati perbuatan itu satu kesalahan serius kerana membawa kesan yang sangat buruk dan mungkin merosakkan hubungan dengan parti komponen BN yang lain dan BN sendiri. Surat yang dihantar Tengku Adnan semalam memberi bayangan yang MyPPP mungkin diminta keluar daripada BN," katanya.

Sehubungan itu katanya menjadi tanggungjawab jawatankuasa disiplin untuk membincangkan isi kandungan surat tersebut serta memutuskan sama ada Kayveas telah melanggar perlembagaan parti.

"Kami sebulat suara memutuskan yang beliau bertindak sendirian tanpa berbincang mengenai isu penting berhubung peruntukan kerusi untuk MyPPP," katanya.

Mohan berkata Kayveas juga melanggar perlembagaan parti apabila menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga tanpa berunding dengan MT, untuk menyerahkan kesemua lima kerusi yang diperuntukkan kepada parti pada PRU14 ini semata-mata bagi mendapatkan kerusi Cameron Highlands.

Katanya semasa anggota MT bertemu perdana menteri untuk membincangkan agihan kerusi, Najib secara jelas menyatakan kerusi Cameron Highlands tidak akan diperuntukkan kepada Kayveas atau MyPPP kerana ia milik MIC.

"Apabila kami tanya mengapa beliau (Najib) benarkan Kayveas bekerja (di Cameron Highlands), perdana menteri berkata 'saya tidak pernah suruh dia bekerja di situ'. Beliau jawab secara terus-terang. Sebelum itu kami difahamkan beliau (Kayveas) dapat endorsemen namun sebenarnya kerusi itu milik MIC," jelas Mohan.

Ulasan saya, pelik juga  Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Ku Nan) berani arah MyPPP pecat Kayveas dari parti tersebut kerana beliau mempertikaikan keputusan BN memberikan kerusi Cameron Highlands kepada MIC tetapi beliau membisu seribu bahasa melihat video Astro Awani yang memaparkan calon Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengutuk calon Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera.

Pelik bin ajaib kenapa Ku Nan bersikap double standard. Dengan jelas Ketua Umno Bahagian Kemaman itu menghentam pencalonan semula Mohamad Awang Tera di mana  video Astro Awani itu telah diviralkan oleh para penyokong PAS.

Ternyata kenyataan Ahmad Said itu menguntungkan puak pembangkang dan sewajarlah Ku Nan menggugurkan keahlian bekas Menteri Besar Terengganu itu daripada Umno dan menggantikan calon Kijal dengan orang lain.

Kenapa Ahmad Said yang pernah membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak pernah diambil tindakan oleh Umno. Dengan Kayveas Ku Nan bukan main berani, dengan Ahmad Said Ku Nan menikus. Buat malu jadi Setiausaha Agung Umno.

Rabu, April 25, 2018

PENGUNDI LANGKAWI MAHU ORANG LUAR ATAU ANAK TEMPATAN?

ALOR SETAR, 24 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata beliau tidak gentar berhadapan dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata beliau yakin rakyat Langkawi akan membuat pilihan bijak dengan memilih anak watan yang benar-benar bekerja demi menyelesaikan masalah mereka dan tidak terpengaruh dengan sentimen nostalgia semata-mata.

"Dalam kes wakil rakyat kita perlu pilih orang yang boleh kerja siang malam bukan nak pilih seorang wakil rakyat yang hanya datang untuk bertanding dan kemudian dia berada di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Nawawi dipilih mempertahankan kerusi Parlimen itu bersama-sama Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Nor Saidi Nanyan yang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan DUN Kuah.

​​​​​​​Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Langkawi memberi undi pada calon yang boleh membawa lebih banyak pembangunan untuk penduduk Langkawi dan masa depan negara.

Ditanya tentang kemungkinan penduduk Langkawi akan terpengaruh dengan isu kontroversi yang dibawakan Dr Mahathir, Nawawi berkata kebanyakan isu tersebut sudah basi dan hanya diceritakan berulang kali.

Dalam pada itu, katanya walaupun beliau yakin dengan kekuatan BN di pulau peranginan itu namun tidak memandang remeh pihak lawan.

Pada 15 April lepas, Pengerusi PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon pakatan pembangkang di kawasan Parlimen Langkawi yang mempunyai 42,697 pengundi berdaftar.

Isnin, April 23, 2018

AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO PUN TIADA SEMANGAT KEPARTIAN YANG TINGGI


KUCHING, 23 April (Bernama) -- Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

"...tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau," katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerja beliau ke Sarawak, di bilik VIP, lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

"...tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Puad akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri (Zahid) pernah menerima tekanan lebih hebat sebelum ini, namun menurutnya sebagai "orang parti " semangat kepartian harus mengatasi kepentingan lain.

"Kalau saya dalam kedudukan beliau (Puad), saya tidak akan keluar parti, apa lagi bertanding sebagai calon Bebas, " katanya.

Menurutnya Mohd Puad sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada 2013, namun nasib tidak menyebelahinya, dan Mohd Puad juga pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Merujuk kepada persiapan PRU di Sarawak, Ahmad Zahid berkata BN perlu berfikiran positif dalam usahanya memenangi kawasan pilihan raya, dan walaupun ketika ini BN negeri menghadapi sedikit masalah dalaman, namun menurutnya ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pilihan raya.

Sementara itu semasa merujuk kepada kemungkinan kemasukan ejen-ejen dari negara asing ke dalam negara dengan niat jahat, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus memantau dengan teliti sekiranya ejen-ejen dari negara asing ini dapat membolosi negara dengan menggunakan pasport dari negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

"Saya yakin perkara ini walaupun sukar, tapi tidak mustahil dan akhirnya kebenaran akan berpihak kepada kita. Kita memang tahu ada sebuah negara di Timur Tengah menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh individu dari negara Palestin yang pakar dalam bidang tertentu, supaya tidak berlaku �intifada´, atau kebangkitan Palestin."

"Kita tahu rakyat palestin ada di serata dunia sebagai ahli profesional dan juga ahli akademik, kerana hak mereka dinafikan oleh sebuah negara yang memusuhi mereka, " katanya.

Beliau berkata kes pembunuhan rakyat Palestin di Sentul baru-baru turut berlaku di negara-negara Eropah, terhadap warga Palestin yang datang mencari rezeki di negara berkenaan, dan beliau yakin polis akan dapat mendakwa mereka yang terlibat dengan kes pembunuhan di Sentul itu nanti.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta sebagai bantuan kepada empat sekolah Cina yang terdiri daripada Tadika Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7 Matang; SJK Chung Hua Batu 11, Matang; SJK Chung Hua Batu 35, bahagian Serian; dan SJK Chung Hua Syn San Too, Padawan dekat sini.

AHMAD SAID TAK PATUT KUTUK CALON BN

KUALA TERENGGANU: Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said sepatutnya tidak mengutuk calon BN bagi DUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera dalam Astro Awani semalam.

Selepas pengumuman calon-calon BN di kediaman rasmi Menteri Besar semalam, Ahmad Said melahirkan rasa kecewa kerana kononnya Mohamad Awang Tera telah sabotaj calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid pada PRU 13 yang lalu.

Kalau benar bekas ADUN Chukai itu mensabotaj Wan Ahmad Nizam kenapa Umno Bahagian Kemaman tidak mengambil tindakan disiplin kepada Mohamad? Kenapa sekarang baru nak ungkit hal ini.

Dalam suasana pilihanraya seperti ini video Astro Awani diviralkan oleh pihak PAS. Jadi apa motif Ahmad Said membangkitkan isu ini? Adakah beliau mengajak penyokongnya jangan mengundi BN? Kain rentang yang menolak Mohamad Awang Tera itu siapa yang buat? Adakah penyokong Ahmad Said?

Kalau nak dibandingkan dengan kes Mohamad Awang Tera, sepatutnya Ahmad Said bersyukur. Walaupun dia keluar dari Umno setelah tidak dilantik semula MB pada tahun 2014 tetapi beliau masuk semula dan dipilih semula sebagai calon bagi DUN Kijal. Sepatutnya bila beliau masuk Umno, kena tunggu tiga tahun baru dapat jadi calon dan tak boleh pegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman semula. Tapi Umno terlalu fleksibel tidak kejam kepada Ahmad Said.

Begitu juga beliau yang buat usul undi tak percaya kepada MB, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tetapi masih dikekalkan lagi sebagai calon walaupun sudah 23 tahun menjadi wakil rakyat Kijal? Tak puas hati lagi?

Adakah Ahmad Said mahu BN menang atau kalah di DUN Chukai? Tak payahlah balas dendam. BN wajib menang di DUN Chukai seperti kata Ahmad Razif ketika datang ke Chukai dua bulan lepas.

Oleh itu saya mahu Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kaji semula pencalonan Ahmad Said bagi DUN Kijal. Kalau boleh letaklah orang lain kerana orang seperti Ahmad Said yang merosakkan Umno. Dah lama tidak peduli kepada Umno Bahagian Kemaman tiba tiba nak jadi calon semula. Orang macam ini pun ada.

Jumaat, April 20, 2018

PEMIMPIN DAP BUTA KEBENARAN

CHUKAI, 20 April (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shabery Cheek menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh mereka yang 'buta' kepada kebenaran dan hanya menerima sesuatu pendapat yang menyebelahi mereka sahaja.

Beliau berkata ini terbukti apabila parti itu menerima Tun Dr Mahathir sebagai sekutu mereka sedangkan suatu ketika dahulu mereka bermusuhan.

"Begitu juga dengan Anwar Ibrahim... dulu mereka kata tidak benar, tetapi bila bersama mereka, ia menjadi benar," katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program Kem Kesihatan bersama cegah kanser di Felda Kerteh Enam, di siini hari ini.

Ahmad Shabery berkata seperti Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw yang dulu bersama mereka, dianggap sentiasa berkata benar tetapi apabila Tan menyatakan sesuatu yang tidak menguntungkan mereka,segala pendapatnya tidak dihargai serta tidak memberi erti apa-apa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib Tan yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kepong selama sembilan penggal sejak 1978 tetapi kini telah dipinggirkan dan mungkin akan digugurkan oleh parti itu kerana bercakap benar mengenai tuduhan gabungan pembangkang bahawa Malaysia akan menjadi negara bankrap

PAS TERENGGANU CALONKAN HAJI HADI DAN ANAKNYA

Berikut adalah calon PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum ke-14.

PARLIMEN

1) Besut-- Dr Ridhuan Mohamad Nor

2) Setiu - Shaharizukirnain Abd Kadir

3) Kuala Nerus -- Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

4) Kuala Terengganu Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim

5) Marang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

6) Hulu Terengganu

Muhyidin Abdul Rashid

7) Dungun - Wan Hassan Mohd Ramli

8) Kemaman- Che Alias Hamid

Dewan Undangan Negeri

1) Kuala Besut - Azbi Salleh

2) Kota Putera - Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman

3) Jerteh - Wan Azhar Wan Ahmad

4) Hulu Besut - Mat Daik Mohamad

5) Jabi - Dr Azman Ibrahim

6) Permaisuri - Zul Bhari A Rahman

7) Langkap - Azmi Maarof

8) Batu Rakit - Mohd Shafizi Ismail

9) Tepuh - Hishamuddin Abdul Karim

10) Buluh Gading - Ridzuan Hashim

11) Seberang Takir - Mohd Fazil Wahab

12) Bukit Tunggal - Dr Alias Razak

13) Wakaf Mempelam

Wan Sukairi Wan Abdullah

14) Bandar

Ahmad Shah Muhamed

15) Ladang

Datuk Tengku Hassan Tengku Omar

16) Batu Buruk

Muhammad Khalil Abdul Hadi

17) Alur Limbat

Ariffin Deraman

18) Bukit Payung

Mohd Nor Hamzah

19) Rhu Rendang

Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

20) Pengkalan Berangan

Sulaiman Sulong

21) Telemong

Kamaruzaman Abdullah

22) Manir

Hilmi Datuk Harun

23) Kuala Berang

Dr Mamad Puteh

24) Ajil

Maliaman Kassim

25) Bukit Besi

Ghazali Sulaiman

26) Rantau Abang

Alias Harun

27) Sura

Wan Hapandi Wan Nik

28) Paka

Satiful Bahari Mamat

29) Kemasik - Ir Saiful Azmi Suhaili

30) Kijal

Hazri Jusoh

31) Chukai

Hanafiah Mat

32) Air Putih

Ab Razak Ibrahim

-- BERNAMA

.

Khamis, April 19, 2018

DAP UMUM MENTERI SEPATUTNYA BAKAL PM YANG UMUM

ALOR SETAR, 18 April (Bernama) -- Pengumuman Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, akan dilantik sebagai menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, jelas menunjukkan sikap dominan DAP dalam parti gabungan pembangkang itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata DAP membelakangkan sekutunya untuk melantik menteri kerana pelantikan barisan kabinet biasanya ditentukan oleh calon perdana menteri mereka iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sejak awal lagi, saya menyatakan PH dikuasai DAP dan Dr Mahathir hanya diperalatkan untuk dinamakan sebagai perdana menteri...tetapi yang menguasai adalah DAP.

"Sebab itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng boleh cakap Nga (Kor Ming) boleh jadi menteri kalau PH menang. Sepatutnya biarlah calon perdana menteri (Dr Mahathir) umum itu," kata Menteri Pendidikan itu kepada pemberita selepas melawat Kolej Sultan Abdul Hamid di sini, hari ini.

Isnin lalu, Lim dalam satu ceramah di Teluk Intan, Perak, mengumumkan Nga bukan sahaja calon DAP di kerusi Parlimen Teluk Intan, malah akan dilantik sebagai menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14.

Rabu, April 18, 2018

KAYVEAS TETAP TANDING DI CAMERON HIGHLANDS

KUALA LUMPUR: MyPPP tetap akan bertanding di Cameron Highlands walaupun MIC akan mewakili BN pada PRU 9 Mei ini.

Menurut Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, beliau telah menjaga parlimen Cameron Highlands sejak empat tahun lalu selepas Presiden MIC, G Palanivel dipecat dari MIC.

"Sebagai anak tempatan saya telah bergaul dengan rakyat Cameron Highlands setiap minggu dan saya kecewa apabila BN mengekalkan status quo kepada calon MIC," katanya dalam sidang akhbar di hadapan perkarangan pejabat MyPPP di sini petang semalam.

Sebaliknya MyPPP ditawarkan bertanding di kerusi parlimen Segambut di Wilayah Persekutuan.

"Sepatutnya lima tahun lalu saya sudah diarah menjaga parlimen Segambut maka mudah bagi saya bermesra dengan rakyat Segambut. Bertanding di saat saat akhir di Segambut tidak ada makna kerana penduduk Segambut tidak mengenali saya," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau tetap dengan pendirian beliau kekal bertanding sebagai calon MyPPP menentang calon BN dan calon PKR.


"Yang peliknya MIC mahu meletakkan calon yang pernah berada dalam MyPPP. Dia kata sudah keluar dari MyPPP tetapi dalam sistem kami namanya kekal sebagai ahli seumur hidup MyPPP dan tak pernah hantar surat untuk keluar dari MyPPP untuk sertai MIC," dakwa beliau.

Katanya, mana boleh sertai dua parti sekaligus dan jika dia juga adalah ahli MIC maka jika beliau terlibat dalam pemilihan MIC, ia adalah tidak sah.

Katanya lagi, MyPPP tetap dengan pendirian mahu bertanding di Cameron Highlands kerana majoriti pengundi di situ dapat menerimanya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan perkhidmatan kepada rakyat Cameron Highlands sejak empat tahun lalu.

Isnin, April 16, 2018

SHAHRIZAT TOLAK TAWARAN BERTANDING DI BANDAR TUN RAZAK

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya tawaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak tidak akan diterima walaupun yakin kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR.

"Ramai yang tanya saya sama ada saya akan terima tawaran bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak. Jawapan saya, tidak walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR," katanya dalam catatan Facebook beliau.

Media sebelum ini melaporkan terdapat ura-ura Shahrizat bakal bertanding sebagai calon BN di Parlimen Bandar Tun Razak yang tradisinya ditandingi oleh wakil daripada MCA.

Pada PRU13, wakil MCA kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi yang kemudiannya menjadi calon Bebas.

MAHATHIR LARI DARI KUBANG PASU KE LANGKAWI

LANGKAWI, 15 April - Kubang Pasu yang selama ini menaikkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun akhirnya ditinggalkan oleh  Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini malam ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya, yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).

Ahad, April 15, 2018

JANGAN LETAK CALON WANITA DI TEMPAT YANG BN KALAH

KUALA NERUS, 14 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu bakal meletakkan calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.

Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci nama-nama calon wanita yang bakal bertanding di kawasan berkenaan.

"Kita akan letakkan calon wanita di 15 kerusi DUN yang masih kita belum menang dan empat kerusi (Parlimen) yang tewas kepada pembangkang."

"Ketika ini saya belum tahu berapa calon wanita dan diharap apabla kita letak mereka, ia boleh membawa kemenangan di kerusi-kerusi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu di sini hari ini.


Ulasan saya, nasib calon wanita BN di Terengganu amat malang kerana usaha meletakkan calon wanita tidak pernah berjaya. Kali terakhir calon wanita diletakkan pada tahun 2008 di Batu Buruk di mana Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie tewas kepada calon PAS, Dr Syed Azman Syed Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.

Pada PRU 2004, Datuk Seri Idris Jusoh menawarkan Nordiana bertanding di DUN Ladang tetapi beliau menolaknya. Maka BN meletakkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh bertanding di situ dan menang. Nordiana tolak tuah ketika itu.

Kenyataan Ahmad Razif semalam sudah tentu berita tidak baik kepada Wanita Umno Terengganu jika calon wanita diletakkan di 15 kawasan yang dikuasai PAS. Menurut sumber, kalau mahu letakkan YB wanita di Terengganu letaklah di kawasan selamat seperti Ajil atau Pengkalan Berangan.

Kalau letak di kerusi PAS seperti Chukai yang mana BN tewas dengan majoriti 2,446 pada tahun 2013 mana mungkin calon wanita seperti Datuk Rohani Abdullah mampu menang. Oleh itu saya cadangkan supaya jika benar BN mahu letak calon wanita carilah kawasan yang selamat seperti di Besut.

Atau adakah pengundi lelaki Terengganu terlalu ego tidak mahu menerima wanita menjadi wakil rakyat mereka?  PAS sudah berubah meletakkan calon wanita Napisah Ismail di DUN Kuala Besut pada tahun 2013 tetapi nampaknya BN Terengganu masih jumud jika meletakkan calon wanita di tempat yang sukar.

Jumaat, April 13, 2018

UMNO AKHIRNYA DAPAT KERUSI BANDAR TUN RAZAK TETAPI SHAHRIZAT YANG TANDING

KUALA LUMPUR: Sudah lama Umno menuntut kerusi parlimen Bandar Tun Razak, akhirnya Umno berjaya merebut kerusi itu dari MCA. Akan tetapi orang luar yang akan bertanding di situ iaitu Ketua Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Shahrizat Jalil.

Pada PRU 1999, MCA menang melalui Tan Chai Ho dan mengekalkan kerusi tersebut pada tahun 2004. Namun demikian PKR yang meletakkan calon Melayu, Tan Sri Khalid Ibrahim pada PRU 2008 telah mengalahkan Tan Chai Ho. PKR sekali lagi melalui bekas Menteri Besar Selangor itu mengekalkan kerusi tersebut pada PRU 2013.

Dua kali kalah maka Umno melalui Ketua Bahagiannya, Datuk Rizalman Mokhtar menuntut kerusi majoriti Melayu itu diserah kepada Umno. Jika Umno yang berjaya membuat tuntutan tersebut maka Rizalman sebagai bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang paling layak menjadi calon.

Namun demikian hasrat Rizalman hancur berkecai apabila beliau ditahan dalam sebuah  pusat hiburan baru baru ini dan kononnya air kencingnya positif  dadah. Rizalman mendakwa beliau dianaiyai oleh pihak tertentu. Walaupun siasatan polis mengesahkan bahawa air kencingnya tidak positif dadah tetapi imejnya sudah tercemar.

Maka orang luar bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dihantar ke situ untuk merampas kerusi PKR. Dapatkah jentera Umno Bahagian Bandar Tun Razak menerima Shahrizat yang terpalit dengan isu suaminya beli kondo dengan geran kerajaan yang sepatutnya duit itu digunakan untuk beli lembu? Mahukah Rizalman membantu Shahrizat? Mungkin beliau akan dilantik Senator jika beliau bekerja kuat memenangkan Shahrizat.

Shahrizat yang kalah di Lembah Pantai di tangan calon PKR, Nurul Izzah Anwar pada mulanya dispekulasikan bertanding di Sungai Besar, Selangor tetapi beliau yang berasal dari Pulau Pinang sebaliknya dipayungterjunkan ke Bandar Tun Razak. Shahrizat bukan orang Lembah Pantai kerana beliau adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Kepong tetapi beliau tidak dapat bertanding di Lembah Pantai kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik mahu bertanding semula di situ.

Maka beliau terpaksa menerima arahan parti untuk merampas kerusi Bandar Tun Razak dari PKR. Mampukah Shahrizat menang di situ? Sama-samalah kita tunggu 9 Mei nanti.

Khamis, April 12, 2018

TIADA LAGI ALASAN UNTUK KELUAR MENGUNDI

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Tiada lagi alasan rakyat yang bekerja di sektor awam dan swasta untuk keluar mengundi selepas kerajaan mengumumkan hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata pengumuman itu membuktikan kerajaan peka dan memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada hari berkenaan.

"Apa disuarakan Cuepacs didengari kerajaan. Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara rakyat, memberi peluang kepada golongan pekerja termasuk penjawat awam dan pekerja swasta serta majikan menunaikan kewajipan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kerajaan hari ini mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena hari mengundi PRU14.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan hari pengundian PRU14 adalah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata kerajaan sudah memberi peluang kepada rakyat yang bekerja, dan hari cuti itu harus dimanfaatkan untuk mereka berdaftar sebagai pemilih keluar mengundi.

"Sekiranya terdapat penurunan peratusan pengundi selepas pengumuman hari kelepasan am tambahan itu, maka terdapat kemungkinan sikap masyarakat Malaysia masih lagi di tahap lemah.

"Sebagai penjawat awam, kita mesti meningkatkan peratusan yang keluar mengundi bagi menunjukkan jati diri 'negaraku hebat'. Ini peluang untuk kita memilih calon yang dapat memperjuangkan nasib dan hak rakyat," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon yang mengalu-alukan pengumuman kerajaan itu, berharap rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura turut diberi pelepasan untuk pulang mengundi.

"Walaupun kami anggap hari Sabtu lebih sesuai, pengisytiharan hari kelepasan am tambahan itu akan memberi kemudahan untuk menjalankan tanggungjawab kita sekali dalam tempoh lima tahun.

"Justeru kita harap kerajaan Malaysia akan minta kerajaan Singapura untuk memberi cuti tanpa rekod kepada hampir 500,000 pekerja Malaysia yang bekerja di negara berkenaan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawap mereka tanpa sebarang halangan, " katanya.

Tenaga pengajar Institut Kemahiran MARA Johor Bahru, Mohd Hazim Asran Abdullah, 39, berpendapat pengumuman itu selari dengan usaha dan pelbagai promosi bagi menggalakkan pendaftaran pengundi baharu yang giat dijalankan sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

"Menjadikan hari pengundian sebagai cuti umum mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi sekali gus membolehkan lebih ramai pengundi menyuarakan hak mereka," jelasnya.

Penjawat awam Shafril Azmi Shaharin, 42, dari Cyberjaya pula berkata pengumuman itu dapat memudahkan pihak majikan membuat persediaan awal dalam mengatur atau membuat penyusunan semula jadual operasi masing-masing.

"PRU hanya berlaku setiap lima tahun, jadi hari kelepasan itu penting untuk memberi peluang kepada rakyat menunaikan kewajipan terhadap negara tanpa menjejaskan operasi jabatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan menasihatkan majikan untuk menerima tarikh 9 Mei sebagai cuti umum seperti yang diisytiharkan kerajaan.

"MEF nasihatkan majikan melihat tarikh tersebut (9 Mei) sebagai cuti umum, sebagai tambahan kepada cuti umum yang ada pada masa ini.

"Jika majikan mempunyai keperluan untuk beroperasi pada hari berkenaan, itu masih boleh dilakukan di mana pekerja diberi peluang untuk mengundi terlebih dahulu dan syarikat boleh bayar mengikut kadar cuti umum pada hari berkenaan," jelasnya.

-- BERNAMA

Rabu, April 11, 2018

BN TERENGGANU PERLU AKUR CALON MB PILIHAN PM

KUALA LUMPUR: BN Terengganu perlu akur dengan calon menteri besar pilihan Datuk Seri Najib Razak jika berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, Najib selaku pengerusi BN pastinya mempunyai pertimbangan sendiri dalam memilih orang yang sesuai mentadbir negeri itu.

"Saya percaya pucuk pimpinan ada pertimbangannya dan pertimbangan itu yang harus kita patuhi," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengatakan setiausaha politik Najib, Datuk Jailani Ngah bakal dipilih menjadi menteri besar Terengganu.

Jailani dikatakan akan bertanding di DUN Batu Rakit, manakala Ahmad Razif berpindah ke kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dipegang PAS.

Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman bagaimanapun berkata pentadbiran negeri tidak berdepan banyak masalah bawah pimpinan Ahmad Razif.

"Saya lihat tiada banyak masalah sekarang. Sudah tentu setiap orang yang diberi tanggungjawab memerlukan masa untuk membuktikan kemampuannya," katanya lagi.

Malah beliau mengatakan kedudukan Umno dan BN di sana kini lebih kukuh dan yakin mampu menambah beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-14.

"Saya percaya beberapa kerusi akan dapat diambil balik...(Namun) ia memerlukan kerja kuat dan (pasukan yang) bersatu," katanya lagi.

Ahmad Said dikatakan kecewa dengan perkara itu dan mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas, disusuli Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukti Besi, Roslee Daud.

Susulan itu, BN hanya memiliki 14 kerusi DUN manakala PAS dan PKR 15 kerusi.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan untuk keluar Umno selepas campur tangan Najib.

Jailani sudah dua penggal berkhidmat dengan Najib. Selain itu beliau juga menjadi pengerusi program khas Haji 1MDB.

Sumber mendakwa Jailani dipilih berdasarkan latar belakang akademik dan agama yang kuat, iaitu lepasan jurusan undang-undang syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

ZAMAN MAHATHIR MENGUNDI PUN PADA HARI BEKERJA

LUMUT, 10 April (Bernama) -- Penetapan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini yang juga merupakan hari bekerja bukanlah suatu perkara luar biasa sehingga boleh mencetuskan permasalahan kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tarikh tersebut sudah pasti telah dipertimbangkan sebaiknya sebelum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian pada hari bekerja pernah berlaku pada PRU 1995 dan 1999.

Shamsul Anuar berkata penetapan tarikh mengundi pada hari bekerja tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum ini ia pernah dilakukan ketika negara di bawah pemerintahan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Setiap perkara yang dibuat kerajaan atau agensi (kerajaan) akan diputar belit (oleh pihak pembangkang) dan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada rakyat. '

"Sebenarnya mengundi pada hari Rabu (hari berkerja) bukanlah perkara baharu..ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu beberapa kali pilihan raya dibuat pada hari berkerja," katanya.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) berkata, isu berkaitan tarikh pengundian dilihat seperti sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang yang disifatkan mahu menimbulkan kemarahan rakyat.

Katanya, beliau percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi serangan pihak pembangkang yang sudah boleh dijangka terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan 9 Mei nanti.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata BIKUM sentiasa menggerakkan kerja bantuan secara konsisten dan berterusan sejak dahulu lagi dan bukan hanya dilakukan menjelang PRU semata-mata.

Beliau berkata BIKUM memberi jaminan bantuan kepada rakyat akan diteruskan malah akan dipergiatkan dari semasa ke semasa biarpun selepas PRU diadakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

"Kita akan lakukan secara konsisten kerana ia tanggungjawab kita dan sebagai tanda terima kasih parti kepada rakyat yang sentiasa memberi kepercayaan kepada UMNO," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, April 09, 2018

DAKWAAN RAFIDAH TIDAK BENAR

KUCHING, 9 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan dakwaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak benar sama sekali.

"Setakat hari ini tiada sebarang perkembangan mengenai perkara yang berkenaan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan tersebut selepas merasmikan Program Jelajah Perkasa Perwira Kuching 1 Divisyen di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Dalam dakwaan tersebut, Rafidah menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri pertahanan pada tahun 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

-- BERNAMA

BN SENTIASA DENGAR RINTIHAN RAKYAT

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mendengar dan memenuhi segala kehendak rakyat dalam segenap aspek kehidupan seharian, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada peringkat negeri, satu jawatankuasa unit penyelesaian masalah ditubuhkan bagi menerima, mengklasifikasi serta menyelesaikan masalah yang diadu rakyat.

"Kita usaha sedaya upaya atasi isu rakyat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Saya rasa rakyat merasa selesa dan mereka faham terutamanya dasar-dasar yang telah kita buat, kita laksanakan dengan sebaik mungkin."

"Saya amat yakin rakyat dapat merasainya dan isu-isu berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat memang jadi keutamaan kita," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga menteri besar berkata menerusi jawatankuasa itu, semua aduan akan dinilai dan dikategorikan sama ada ia berasaskan keperluan atau kehendak.

"Ada juga rungutan yang berasaskan kepada kemahuan dan ada berasaskan keperluan. Misalnya orang nak ke ladang nak menoreh getah dan dia punya jambatan putus disebabkan banjir...itu kita terus buat."

"Tetapi kalau nak buat dewan besar, itu kemahuan. Kalau tak ada dewan pun tak terganggu kehidupan seharian," katanya

PH GUNA LOGO PKR MENAKJUBKAN

KEMAMAN, 7 April ( Bernama) -- Keputusan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat sebagai 'menakjubkan'.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis berkata ini kerana PH yang kini diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menggunakan lambang parti yang suatu ketika dahulu ditubuhkan ekoran kemarahan seorang pemimpin terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Katanya PKR ditubuhkan menggunakan logo berbentuk mata yang diilhamkan daripada kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan ketika era pemerintahan Dr Mahathir (kerana isu liwat) bagi meraih simpati rakyat.

"Ketika itu rakyat sangat marah kepada Tun sehingga pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 membawa kekalahan kepada Terengganu atas sebab isu mata lebam ini kerana mereka menyokong PKR.

"Tapi waktu sekarang ini PKR memeluk Tun Mahathir...jadi banyak perkara yang lari daripada teori politik melainkan teori yang mengatakan demi kuasa, semua yang mustahil boleh jadi...orang melihat kini kuasa adalah segala-galanya," katanya.

Jumaat, April 06, 2018

SEMUA NGO DI CAMERON HIGHLANDS MAHU KAYVEAS WAKILI CALON BN



KUALA LUMPUR 6 April - Penduduk Cameron Highland daripada pelbagai lapisan masyarakat, mahukan wakil pilihan mereka diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Lebih 50 penduduk mewakili beberapa buah Persatuan Penduduk; Persatuan Kuil dan Tokong; Persatuan Peniaga dan Pekebun tempatan, menzahirkan solidariti dan mendesak supaya Tan Sri M. Kayveas dicalonkan bagi kerusi Parlimen P078 itu.


Wakil Pesatuan Pekebun Cameron Highland, Edwin Tang berkata, selain akan menyokong penuh, mereka turut menjamin setiap undi diberikan untuk Presiden myPPP itu, kerana jasa dan baktinya selama ini telah membantu kelancaran warga setempat.

Katanya, sebagai anak jati Blue Valley, Kayveas juga sudah pun memahami keperluan penduduk di sini yang amat inginkan seorang calon dekat di hati.

“Sebagai anak tempatan, beliau turut disenangi penduduk, termasuk orang Asli, peniaga serta persatuan di sini.

“Pelbagai bantuan berupa kewangan, teknikal dan peralatan turut diberikan kepada yang memerlukan tanpa kira masa, keprihatinan pemimpin begini kami mahukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Santai Makan-Makan di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Hadir sama wakil Tok Batin Sungai Tiang, Wahab Mat; wakil Tok Batin Batin Sungai Ruil, Bahau Baghran dan Harvinder Singh, mewakili Gabungan Badan Bukan Kerajaan di Cameron Highlands.

Menurut Edwin, cara kepemimpinan Kayveas juga dihargai kerana beliau sering tampil membela nasib rakyat dan ada bersama dalam setiap situasi yang dilalui penduduk.

“Kami mahu Kayveas menjadi calon BN di sini kerana beliau komited dan sering turun padang dalam program dibuat sejak beberapa tahun ini, baik aspek bantuan, kebajikan dan aktiviti sukan diberikan perhatian,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN kerana melantik Kayveas berkhidmat di parlimen itu beberapa tahun yang lalu