Rabu, Oktober 15, 2008

ALIASGAR TEWASKAN ORANG KUAT KHAIRY DI TUARAN


Satu sms masuk dalam handphone saya pada jam 12 tengah malam tadi dari rakan saya, Aliasgar Haji Basri dari Sabah. Beliau baru saja mengalahkan ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam pertandingan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran yang diadakan semalam.

Aliasgar yang mempertahankan jawatan menang dengan majoriti 79 undi dengan memungut 286 undi manakala Abdul Rahman yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia mendapat 207 undi.

Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pemuda Tuaran merupakan orang kuat Khairy Jamaluddin di Sabah. Minggu lepas Tuaran gagal mencalonkan Khairy untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Manakala abang Aliasgar, Zamani Basri menang dengan majoriti 167 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Zamani mendapat 264 undi manakala Omar Khan Amirussin mendapat 97 undi danRamli Hakim mendapat 30 undi.

Ketuanya, Datuk Hajiji telah menang tanpa bertanding. Sementara itu UMNO bahagian Tuaran telah mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan utama parti itu.

Ini adalah pencalonan yang ke 29 buat Najib manakala pencalonan ke 24 buat Muhyiddin. Manakala bahagian tersebut mencalonkan Hishamuddin, Dr. Zahid Hamidi dan Shafie Afdal untuk jawatan Naib Presiden UMNO.

ANAK ABU HASSAN TANDING EXCO PEMUDA UMNO


Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, Datuk Mohamed Hazali,33, akan mencuba nasibnya bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan.

Ketika ditemui di lobi parlimen Selasa lalu, Hazali berharap beliau akan menerima pencalonan yang selesa untuk merebut jawatan tersebut. Di peringkat bahagian Kuala Selangor, beliau adalah Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO.

Ditanya kenapa beliau bertanding, Hazali berkata sudah sampai masanya untuk menabur bakti kepada ahli-ahli UMNO.

“Saya berharap para perwakilan dapat menerima saya untuk menjadi Exco Pemuda UMNO Malaysia,” katanya lagi.

Ayah beliau tidak perlu diperkenalkan lagi. Tan Sri Abu Hassan pernah menjadi ahli parlimen Kuala Selangor dari tahun 1978 hingga 1999. Beliau menapak dari setiausaha parlimen ke timbalan menteri dan menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Muhammad Muhd. Taib pada tahun 1997.

KISAH BEKAS TAHANAN ISA


Masih cerita di parlimen. Saya tidak sangka dapat menemui rakan lama dari Sabah, Haji Jabar Khan yang merupakan orang kuat PBS tidak lama dahulu di lobi parlimen.

Beliau sudah tidak kenali saya ketika saya menegurnya, “Ini Jabar Khan ke?”

Dia sudah tidak ingat saya kerana sudah 18 tahun kami tidak bertemu. Jabar Khan adalah tokoh yang agak lantang ketika saya bertugas di Sabah dari tahun 1989-1991 dahulu.

“Siapa ni?”soalnya kembali.

“Zabidi Watan,” jawab saya.

“Astaga Zabidi. Maaf saya tidak perasan tadi,”jawabnya lagi sambil menceritakan pengalamannya ditahan di bawah ISA di Kamunting, Perak. Beliau ditahan selama empat tahun di zaman Tan Sri Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Datuk Musa Aman tak gunalah. Jasa saya menaikkannya dia lupa terus,” katanya lagi.