Rabu, Disember 31, 2008

KHALED ADA HARAPAN MENANG


Biarpun Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin dapat 72 pencalonan untuk bertanding kerusi Naib Presiden UMNO, harapannya untuk menang tetap cerah. Berdasarkan keputusan lepas, Menteri Pelajaran sentiasa menang.


Dahulu Kementerian Pelajaran merangkumi semua termasuk pengajian tinggi. Sebaliknya selepas pilihan raya umum 2004, Pak Lah pecah kementerian itu kepada dua buah kementerian, kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi tetapi Mustapha Mohamad selaku Menteri Pengajian Tinggi yang bertanding Naib Presiden UMNO pada tahun 2004 kalah.


Adakah dia kalah kerana personalitinya atau kalah kerana kementeriannya? Sedangkan kalau ikut dari segi logik, menteri pelajaran dan menteri pengajian tinggi mesti menang dalam pertandingan tersebut.


Khaled merupakan seorang bekas setiausaha politik Datuk Shahrir Samad. Pada tahun 1987, ketika Shahrir menyokong Team B saya pernah jumpa Khaled tetapi saya tidak follow up hubungan saya dengannya. Jadi dia tidak kenali saya seperti mana Dr. Zahid Hamidi dan Shafie Afdal mengenali saya. Oleh itu saya tidak ada kenangan manis bersamanya.


Khaled Nordin telah dilahirkan di Muar, Johor pada 30 November 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ledang Muar. Beliau bersekolah menengah di Sekolah Tinggi Muar sebelum meneruskan pengajian ke Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Khaled kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1982.


Beliau memulakan kerjayanya di PETRONAS sebagai Pegawai Undang-Undang pada tahun 1982. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan (1983-1986) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kebajikan Masyarakat (1986-1987).


Khaled mula bergiat aktif dalam arena politik pada tahun 1978 setelah menjadi ahli UMNO Cawangan Wadihana, Johor Bahru. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO cawangan tersebut.


Beliau kini merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Beliau turut memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.


Selain itu, Khaled juga pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru (1993), Exco Pemuda UMNO Malaysia (1993), Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru (1995), Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru (1998) dan Ketua Penerangan UMNO Negeri (1998).


Khaled turut bergiat aktif dalam sosial. Beliau merupakan Presiden Belia Negeri Johor dan Presiden Persatuan Ragbi Johor. Beliau juga telah dilantik sebagai Yang Di Pertua Koperasi Pemandu Teksi Johor dan Penaung Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee.


Khaled telah dipilih sebagai wakil rakyat pada tahun 1990 setelah memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru. Setelah itu beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sehingga tahun 2004.


Pada pilihan raya umum 2004, beliau telah bertukar ke kerusi Parlimen Pasir Gudang dan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, A. Razak Ahmad dengan majoriti 31,121 undi. Beliau memperolehi 38,123 undi berbanding lawannya yang mendapat 7003 undi. Selepas kemenangannya itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sehingga Mac 2008. Selepas pilihan raya umum 2008, beliau ditukarkan ke Kementerian Pengajian Tinggi.


Beliau adalah bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia. Oleh itu rangkaian beliau dalam perwakilan UMNO agak ramai. Tambahan pula sudah dua penggal Khaled menjadi ahli majlis tertinggi UMNO. Oleh itu peluang untuk beliau menyingkirkan Shafie Afdal agak cerah. Hanya undi Johor yang akan berpecah kerana tiga calon dari Johor bertanding termasuk Hishamuddin dan Syed Hamid Albar.


Khaled dan bossnya, Shahrir Samad tidak dapat dipisahkan. Pada tahun 2004, Khaled berpindah ke Pasir Gudang dan Shahrir kembali bertanding di Johor Bharu. Pada tahun yang sama Khaled selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah melantik Shahrir sebagai Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebuah agensi yang terletak di bawah kementeriannya. Kini Shahrir sudah kembali ke kabinet bersama anak muridnya Khaled.


Dapatkah Khaled menang pada Mac ini? Jika dia menang, dia sudah mengatasi gurunya, Shahrir yang pernah tanding Naib Presiden UMNO pada tahun 2004 tetapi tewas.