Ahad, Mac 08, 2009

HISHAMUDDIN KALAH JIKA TAK HAPUSKAN PPMSI


Pak Lah mahu isu PPMSI diselesaikan segera sebelum lebih ramai orang Melayu bangkit marah kepada isu tersebut. Ini memberi peluang kepada Hishamuddin Hussein Onn untuk mengkaji semula isu ini walaupun beliau berkata menurut perlembagaan ia tidak boleh dipinda kerana dasar itu sudah berusia enam tahun.



Peluang Hishamuddin untuk menang naib presiden UMNO amat cerah jika beliau menghapuskan belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Orang Melayu tabik kepada beliau. Sebaliknya dengan kemarahan orang Melayu seramai 100,000 orang yang berarak ke istana negara semalam dari masjid negara boleh menyebabkan Hishamuddin kalah dalam pertandingan ini jika beliau terus mengekalkan dasar tersebut.


Ia juga boleh memberi kesan kepada pertandingan ketua pemuda. Orang Melayu yang marah kepada PPMSI tidak akan mengundi Mukhriz kerana ayahnya, Dr. Mahathir Mohamad yang mengkhianati bahasa Melayu dengan membuat dasar belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.



Oleh itu Hishamuddin kena fikir masa depannya. Jika mahu menang jawatan naib presiden UMNO, hapuskan PPSMI dan jika tidak mahu menang, tak payahlah hapuskan dasar tersebut.


Kita masih ingat pada tahun 1978, Musa Hitam berjaya meraih undi sebagai naib presiden UMNO apabila menolak permohonan MCA untuk menubuhkan Universiti Merdeka. Sokongan kepada Musa meningkat sehingga berjaya menang kerusi tersebut dengan percubaan pertama.



Maka inilah peluang terbaik bagi Hishamuddin untuk meraih undi yang besar dengan menghapuskan PPSMI. Beliau harus ingat orang melayu masih marah kepadanya yang minta maaf kepada orang Cina kerana menghunus keris pada perhimpunan agung UMNO. Oleh itu orang melayu akan memaafkannya jika beliau menghapuskan dasar Dr. Mahathir ini. Kenyataan Pak Lah jelas menunjukkan bahawa Pak Lah sendiri mahu dasar itu dikaji semula.