Rabu, Julai 01, 2009

LUCU JUGA SHAFIE


Lucu juga mendengar ucapan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mohd. Shafie Afdal yang menafikan beliau mahu menjadi Menteri Besar Kedah. Saya rasa tergelak membaca berita yang tersiar dalam akhbar tempatan ketika beliau berucap di majlis perasmian mesyuarat agung Mubarak Kedah yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Shafie bukan orang Kedah. Dia orang Sabah. Cuma dia menantu kepada bekas wakil rakyat Kedah, Datuk Shuib Lazim. Jadi takkan Shafie mahu bertanding di Sungai Petani pula pada pilihan raya umum 2012. Jadi kenyataan Shafie memanglah melucukan dan sepatutnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Shafie tetap bertanding di Sabah dan peluangnya jadi Ketua Menteri Sabah lebih cerah pada tahun 2012 menggantikan Musa Aman yang merupakan orang kuat Pak Lah. Shafie memang orang Najib. Maka Najib sudah pasti menghantar Shafie balik ke Sabah walaupun beliau adalah seorang Naib Presiden UMNO.

Oleh kerana semua Naib Presiden UMNO dilantik Pengerusi Perhubungan seperti Dr. Zahid Hamidi di Pulau Pinang dan Hishamuddin di Terengganu, maka Shafie turut dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang kebetulan isterinya berasal dari Kedah. Oleh itu beliau hendaklah menyusun strategi untuk menawan Kedah balik dari PAS dan beliau tak payahlah berangan jadi Menteri Besar Kedah.

Jika pengalaman BN menawan Sabah pada tahun 1994 tidak dapat digunakan oleh Shafie untuk menawan balik Kedah, alangkah ruginya Najib melantik Shafie mengetuai UMNO Kedah.Macam mana UMNO mahu menang di Kedah kerana para pemimpinnya masih bercakaran. Buktinya bila Dr. Mahathir rasmikan mesyuarat agung Mubarak, ahli parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom tidak menghadirinya sedangkan Dr Mahathir yang memberi laluan kepada Johari sebagai ahli parlimen.

TOLAK RASUAH DIHARGAI


Dua anggota polis yang menolak rasuah lebih setengah juta ringgit daripada dua pengedar dadah bagi mengelak 480 bungkusan syabu bernilai RM280 juta dirampas pada Mei lepas, dianugerahkan Anugerah Integriti semalam.

Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini, 44, dan Lans Koperal Mohd Tarmazi Arbayee, 25, juga dinaikkan pangkat masing-masing kepada Detektif Sarjan dan Koperal atas kejayaan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah berkenaan kepada kedua-dua anggota polis itu dalam satu upacara selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Bangunan Parlimen di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Pada kejadian pada 2 Mei lepas, Mohd Surani dan Mohd Tarmazi yang dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Cenderawasih, Rompin, Pahang pada pukul 6.45 pagi, ternampak sebuah lori yang mencurigakan lalu memeriksa dan mendapati lori itu membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua anggota polis itu bertindak menahan dua suspek lelaki yang kemudiannya menawarkan suapan rasuah sebanyak RM10,000 dan berjanji akan menyerahkan lagi RM500,000 sebagai ganjaran membebaskan mereka.

Musa ketika ditemui pemberita berharap masyarakat tidak memberikan rasuah kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa kerana mereka boleh dikenakan hukuman yang berat.

"Saya minta masyarakat janganlah beri rasuah, kalau hadapi apa-apa masalah terimalah masalah tetapi jangan merasuah kepada pegawai kerajaan kerana kita mempunyai kuasa untuk menangkap kalau orang memberi rasuah," katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua anggotanya itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengiktirafan itu.

"Saya rasa gembira dan rasa bahawa pegawai dan anggota bawahan saya telah melakukan tugas dengan baik. Alhamdulillah apa yang selama ini saya utarakan untuk membetulkan pasukan polis supaya anggota dan para pegawai mempunyai integriti yang tinggi berhasil," katanya.

Ketika ditemui, Mohd Surani dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Rompin berkata beliau berpegang kepada integriti kerana setiap anggota polis perlu ada integriti.

Mohd Tarmizi dari Cawangan MPV, IPD Rompin pula berkata ketika ditawarkan rasuah itu, beliau hanya memikirkan mahu berkhidmat lama dalam polis.

"Saya fikir saya lama lagi hendak kerja sebab saya baru lagi masuk dalam PDRM ini. Kita fikir panjang, sebolehnya memang saya akan tolak (rasuah)," katanya.