Selasa, Julai 20, 2010

EMPAT ADUN TAK PERNAH HADIRI MESYUARAT BAHAGIAN


Kemelut di antara pemimpin Umno Setiu, Terengganu tidak akan berakhir selagi mereka tidak dapat duduk semeja dan berbincang, kata ketua bahagiannya Datuk Mohd Jidin Shafie.

Mohd Jidin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan empat orang ADUN kawasan tersebut yang memulaukan persidangan perwakilan Umno bahagian tersebut pada Jumaat lalu.

Keempat-empat ADUN itu ialah Ramlan Ali (Jabi), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Asha'ari Idris (Langkap) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit).

Keempat-empat orang wakil rakyat itu dilaporkan memulaukan mesyuarat berkenaan sebagai tanda protes kepada kepemimpinan Mohd Jidin, yang juga merupakan ahli parlimen kawasan tersebut.

Dilaporkan, salah seorang wakil rakyat berkenaan, Ramlan Ali, bertindak demikian memandangkan Mohd Jidin tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlaku.

Mengulas perkembangan itu, Mohd Jidin menjelaskan bahawa masalah yang timbul di antara beliau dengan empat orang wakil rakyat tersebut sebenarnya berpunca daripada keputusan daripada pemilihan di peringkat bahagian pada 2008.



Katanya, dalam pemilihan pada 25 Oktober itu, Ramlan Ali bertanding menentang Mohd Jidin bagi kerusi ketua bahagian, namun Ramlan tewas.

Tambahnya, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan anggota bahagian, beliau menubuhkan jawatankuasa tambahan dan melantik Ramlan ke jawatan tersebut.

"Bila kita berbincang, kita setuju lantik dia (Ramlan) sebagai ahli jawatankuasa tambahan dan kita lantik pada masa itu empat orang. Yang tiga orang ini terima dan hadir mesyuarat bahagian, tapi dia ini (Ramlan) terima pun tidak, hadir pun tidak," katanya lagi.

Tiga lagi wakil rakyat berkenaan bagaimanapun berjaya dalam pemilihan tersebut. Asha'ari Idris menang jawatan timbalan ketua bahagian, manakala Abdul Halim dan Khazan masing-masing berjaya mendapat jawatan naib ketua bahagian dan ketua pemuda.

Mesyuarat yang dirasmikan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagaimanapun turut dihadiri ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang disebut-sebut sebagai ketua proksi bagi empat orang ADUN berkenaan.

Mohd Jidin ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan mengulas sama ada ketidakhadiran empat orang wakil rakyat berkenaan disebabkan kesetiaan mereka kepada Idris.



"Berkenaan itu saya tidak tahu. Saya tidak ada maklumat. Pada saya, saya tumpu kepada buat kerja. Soal (sokong) orang itu, orang ini, perkara biasa saja," katanya lagi.

Tambahnya, soal kesetiaan di kalangan pemimpin bahagian tidak timbul kerana isu pokok ialah ketidakhadiran mereka ke mesyuarat.

"Isunya, mereka tidak pernah hadir mesyuarat bahagian. Jadi saya hendak selesaikan kemelut macam mana kalau bertemu mata pun tak boleh?

"Kekesalan saya ialah mereka ini tidak hadir mesyuarat agung bahagian yang dirasmikan timbalan perdana menteri dan kekesalan itu disuarakan oleh timbalan perdana menteri semasa berucap. Ini yang sebabkan ahli-ahli agak marah.

"Mereka kena pikul tanggungjawab. Sebagai timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, tanggungjawab mereka ialah hadir mesyuarat. Kalau mereka datang, walaupun selama dua minit, perkara ini tidak berbangkit lagi," katanya.

Beliau yakin, penyelesaian akan dapat dicapai sekiranya pemimpin berkenaan mampu untuk duduk semeja dan mengadakan perbincangan dengannya.

"Kita ini kalau dekat di mata, dekatlah sikit di hati. Penyelesaian boleh dibuat kalau perasaan kasih sayang itu masih ada," katanya yang turut menegaskan, pemimpin berkenaan bertanggungjawab kepada parti.
(dipetik dari www.malaysiakini.com)

BILA PEGAWAI KERAJAAN MELENTING


Sejak bila pegawai kerajaan boleh menjawab sindiran orang politik dalam akhbar? bagi saya, tindakan SDO Pulau Pinang, Nik Ali Mat Tunus menjawab teguran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah tidak wajar. Tambahan pula sidang akhbarnya dihadiri oleh beberapa ADUN UMNO.

Sebagai pegawai kerajaan, kita hendaklah berkecuali. Jika tidak tahan dengan kata-kata Lim Guan Eng, beliau sepatutnya minta tukar ke jabatan lain kerana beliau adalah seorang PTD yang boleh berkhidmat di mana-mana negeri kecuali Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sebagai pegawai kerajaan, tak perlulah Nik Ali membuat sidang akhbar seolah-olah beliau pula orang politik. Seolah-olah beliau mahu menjadi hero pula. Tak ada faedah semuanya itu. Jika Nik Ali tak puas hati, letak jawatan dan tanding sebagai calon BN di Pulau Pinang pada pilihanraya umum akan datang. Dapat beliau berdebat dengan Lim Guan Eng dalam Dewan Undangan Negeri nanti.

Kita ikuti laporan penuh Utusan Malaysia mengenai peristiwa ini sepertimana berikut:-

Sebelum ini, Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus hanya bersabar dan mengambil sikap berdiam diri walaupun dituduh dengan pelbagai kenyataan yang menghina peribadinya oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Namun penjawat awam itu akhirnya bersuara hari ini kerana tidak mahu lagi menjadi kambing hitam kerajaan negeri.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng bahawa beliau tidak kompeten, tidak profesional, pengecut dan patut diberhentikan ekoran isu curi pasir di tapak projek Politeknik Balik Pulau, adalah amat biadab.

Sambil menyifatkan kata-kata kesat seumpama itu tidak sepatutnya dilemparkan seorang yang berjawatan Ketua Menteri, Nik Ali memberitahu, ia merupakan kali ketiga Setiausaha Agung DAP itu membuat kenyataan biadab dan melampau kepadanya.

"Sebelum ini, Guan Eng kata saya lidah biawak, pegawai tidak kompeten, 'little Napoleon' dan sebagainya. Apakah niat sebenarnya saya tak tahu, tapi yang kita nampak beliau 'bekerja kuat' untuk mengeluarkan saya dari negeri ini.

"Ia seperti menghina peribadi serta kerjaya saya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, agensi yang memelihara kepentingan Kerajaan Persekutuan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.

"Ingin ditegaskan di sini, Guan Eng tidak mempunyai 'locus-standy' untuk menilai saya sebagai pegawai yang tidak kompeten dan sebagainya," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang akhbar isu curi pasir di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim; ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Guan Eng semalam menggesa Nik Ali segera meletakkan jawatan kerana mendakwa beliau cuba melarikan diri dan menuding jari kepada orang lain berhubung isu curi pasir tanah milik Kerajaan Persekutuan di Balik Pulau.

Perang dingin antara kedua-dua individu itu tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan terbaru, isu curi pasir.

Nik Ali menjelaskan, isu curi pasir tidak ada kena mengena dengan bidang tugas dan tanggungjawab SDO, sebaliknya ia bidang kuasa pihak berkuasa negeri, Pejabat Tanah dan Daerah dan ditangani bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Daerah mempunyai kuasa penguatkuasaan, memantau dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan kegiatan itu sama ada di tanah persendirian, syarikat, kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Begitu juga dalam isu perobohan gerbang di Taman Botani, beliau dakwa saya membazirkan wang kerajaan sedangkan keputusan dibuat Jemaah Menteri berasaskan prinsip rakyat didahulukan dengan mengambil kira pendapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam.

"Justeru, saya ingin mengingatkan Guan Eng supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bersifat serangan peribadi dengan menyiasat fakta berhubung struktur, peranan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum membuat kenyataan liar," ujarnya.