Rabu, Oktober 12, 2011

HAPUSKAN PENGGUNAAN IC DAN PASPORT KE SABAH


Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mencadangkan supaya penggunaan kad pengenalan dan pasport kepada rakyat Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dihapuskan.

"Kita kata kita berada dalam 1Malaysia, tetapi bila rakyat Sabah ke Kuala Lumpur, kad pengenalan mereka diperiksa seolah-olah kami datang dari negara lain," kata beliau ketika membahaskan ucapan bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, untuk maju, peraturan menggunakan pasport dan kad pengenalan bila tiba di Kota Kinabalu dan Kuching untuk rakyat Malaysia hendaklah dihapuskan.

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi UMNO kesal dengan pembelian saham MAS oleh Tony Fernandez dari Air Asia sambil bertanya siapa yang beli siapa?

Menurutnya, Air Asia mencekik darah penumpang kerana caj barangan yang berlebihan kepada penumpang.

"Saya hairan bagaimana kerajaan boleh beri saham MAS kepada budak main band," katanya lagi.

Beliau kesal kerana jadual Firefly (anak syarikat MAS) dari Kuala Lumpur-Sandakan hampir sama dengan jadual penerbangan Airasia. Sepatutnya mereka tak perlu bersaing dalam jadual penerbangan kerana di waktu tengah hari langsung tiada flight sebaliknya Firefly dan Airasia terbang hampir sama waktu di waktu pagi dan petang," katanya.

Beliau menambah sepatutnya Firefly terbang di waktu pagi, Airasia di waktu tengahari sebaliknya mereka terbang di waktu yang sama di waktu pagi yang disifatkan beliau sebagai persaingan yang bodoh.

Bung Mokhtar juga mahu kerajaan memantau sekolah-sekolah memandu supaya mereka melahirkan pemandu yang berkualiti. Menurut beliau pemandu yang tidak cekap yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Beliau turut mengecam Prof. Dr. Aziz Bari yang mengatakan Sultan Selangor tiada hak untuk campurtangan dalam urusan agama Islam sedangkan perlembagaan Selangor menjelaskan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri ada hak untuk bercakap mengenai hal ehwal agama Islam.

Menurutnya lagi, Prof. Dr. Aziz bukanlah pakar perlembagaan sebaliknya pakar temberang.

"Kita bukannya menyekat ahli akademik memberi pendapat tetapi biarlah mereka bercakap benda yang benar dan bukannya putar-belit fakta," tegasnya lagi.