Ahad, Januari 22, 2012

BN KELANTAN TAK SERIK KE?


Kesemua 14 bahagian Umno di Kelantan diarah mengenalpasti lebih 100,000 pengundi yang berada di luar negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, mereka merupakan kira-kira 15 peratus pengundi yang berdaftar di Kelantan yang mempunyai kuasa penentu kemenangan sesebuah parti.

"Mereka berada di beberapa buah negeri termasuk, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Trengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan jentera pilihan raya BN DUN Perupuk hari ini.

Lebih 100 peserta menyertai seminar itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Umno bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Hussin.

Awang Adek, yang juga ketua Umno bahagian Bachok, berkata usaha setiap bahagian mengenalpasti pengundi luar itu akan dipantau oleh Biro Pengundi Luar yang dipengerusi ketua Umno bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Umno Terengganu telah menyiapkan bancian pengundi luar bagi mengenal pasti mereka yang layak mengundi dalam pilihan raya umum Ke-13.

Pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Said berkata menerusi bancian itu, pihaknya berjaya mengesan seramai 69,000 pengundi luar yang tidak pulang semasa pilihan raya lalu selain turut membuat bacaan sikap mereka.

"Kita ada semua maklumat perhubungan seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal sebab kita nak hubungi mereka dan minta mereka pulang mengundi pada PRU 13 nanti," katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Pemukiman Kepimpinan
Umno Terengganu hari ini.

Penutupan program tiga hari yang berakhir hari ini dilakukan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan dihadiri 421 anggota parti.

Ahmad, yang juga menteri besar Terengganu, berkata bancian terhadap pengundi luar merupakan segmen penting bagi sesebuah parti dan ia tidak boleh dipandang ringan kerana golongan berkenaan berupaya menentukan kemenangan parti dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau DUN supaya menggunakan data dan maklumat bancian itu pada PRU 13 kelak.

Komen aaya, BN Kelantan nampaknya tak serik dengan pengalaman 2008. BN panggil balik pengundi luar balik mengundi tetapi mereka undi pembangkang. Oleh itu BN Kelantan tak perlu buang duit tarik pengundi luar balik kecuali bawa balik hard core orang BN sahaja. Bila bawa balik atas pagar, mereka tak undi BN walaupun duit mereka sapu.

sekiranya mereka berjiwa Umno mereka tetap balik mengundi tanpa dibayar. Oleh itu BN Kelantan jangan habiskan duit untuk tarik pengundi luar sedangkan anda memberi peluang kepada mereka mengundi pembangkang.

Jumaat, Januari 20, 2012

MUZAKKIRAH: BUKU YANG MENARIK


Sudah lama saya mencari buku Muzakkkirah karya Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang diterbitkan pada tahun 2008. Minggu ini baru saya dapat baca buku tersebut yang diberi oleh anaknya, YB Wan Hakim kepada saya melalui ustaz Sham Madi.

Memang seronok baca pengalaman Wan Mokhtar selama 35 tahun berkecimpung dalam politik dari tahun 1964 hingga 1999. Bekas guru agama lulusan Universiti Al Azhar ini mula menjadi ahli parlimen Kemaman selama dua penggal (1964-1974) sebelum dilantik sebagai MB Terengganu selama 25 tahun dari 1974-1999.

Beliau pernah ditawarkan jawatan sebagai pegawai Tabung Haji tetapi terpaksa menolaknya kerana beliau terikat dengan kerajaan negeri yang menghantarnya belajar di Mesir. Di Mesir beliau menjadi pemimpin pelajar Melayu yang belejar di negara itu dan sering berutus surat dengan TPM, Tun Razak. beliau sudah lama mengenali Tun Razak sejak belajar di Mesir lagi.

Pada tahun 1964 ketika mengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin beliau menerima panggilan telefon supaya menemui MB, Tan Sri Ibrahim Fikri. MB berkata beliau telah dipilih sebagai calon Perikatan di parlimen Kemaman.

Sebagai anak kelahiran Kg. Nesan Empat, Kuala Terengganu, bertanding di Kemaman merupakan kawasan asing kepada beliau sungguhpun beliau berkata 60 peratus ahli parlimen negeri itu adalah dari keluarga beliau. Ketika itu Umn0 memerlukan lulusan Mesir untuk berhadapan dengan calon PAS.Maka Wan Mokhtar terpaksa meninggalkan alam perguruan yang diminatinya.

Hubungan beliau dengan Tun Razak semakin rapat apabila Umno Kemaman digantung gara-gara perebutan kuasa di antara Datuk Sulong dengan Datuk Wan Yahya. Tun Razak dilantik sebagai ketua bahagian manakala Wan Mokhtar dilantik sebagai setiausaha bahagian. Oleh kerana Tun Razak sibuk sebagai PM, maka Wan Mokhtar diamanahkan menjaga Bahagian.

pada pilihanraya kecil Batu Rakit pada tahun 1972, beliau ditawarkan jawatan MB oleh Tun Razak tetapi Wan Mokhtar menolaknya. Sebaliknya beliau mencadangkan nama Datuk Nik hasan sebagai MB baru. Bagaimanapun pada tahun 1974, beliau sekali lagi dipanggil Tun Razak untuk menjadi MB. Kali ini beliau yang sudah berusia 42 tahun sudah bersedia memikul tugas tersebut.

Sepanjang 25 tahun menerajui Terengganu beliau yang disindir sebagai ustaz yang tak layak menjadi MB akhirnya membuktikan bahawa pembangunan Terengganu berkembang di bawah zaman Wan Mokhtar. Pelbagai agensi ditubuhnya seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Islam, Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Pembangunan Usahawan telah memacu pembangunan negeri Terengganu.

Pada tahun 1995 beliau sudah beritahu dr Mahathir untuk bersara dari politik tetapi Dr mahathir mahu beliau terus menerajui terengganu walaupun Dr yusof noor dihantar bertanding di kerusi DUN. Cuma kekalahan beliau pada tahun 1999 menyebabkan namanya agak tercemar kerana sepatutnya beliau lebih disanjung sebagai MB sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum 1999.

masih banyak cerita di belakang tabir yang tidak ditulis oleh Wan Mokhtar dalam buku ini. Sepatutnya beliau menulis bagaimana beliau boleh menarik Dr yusof noor menyertai politik pada tahun 1984 sedangkan ketika itu Datuk Zakaria Abdul Rahman yang mengetuai Umno Besut tidak mahu Dr Yusof menyertai UMNO di Besut.

bagi saya autobigrafi ini kurang lengkap kerana banyak lagi yang tidak disentuh Wan Mokhtar dalam buku tersebut bagaimana beliau menolak nama Ahmad Said sebagai calon dalam pilihanraya kecil Kijal pada tahun 1990. Beliau ada menulis tentang bekas setiausaha politiknya Nazri Salleh yang sabotajnya dalam pilihanraya umum 1995 tetapi tidak menulis bagaimana beliau cuba ditentang oleh Mokhtar Abdul Rahman dalam pertandingan ketua umno bahagian pada tahun 1998.

Namun demikian usaha Wan Mokhtar menulis autobiografi ini wajar dipuji. Selepas ini kita berharap lebih ramai lagi bekas orang politik dapat menulis autobigrafi mereka terutamanya Dr Yusof Nor yang boleh menulis pengalamannya dalam politik dari tahun 1984-1999.

Khamis, Januari 19, 2012

BERHATI-HATI DENGAN PENYAMAR

Anda yang mempunyai facebook, kena berhati-hati kerana ada orang yang menyamar menggunakan gambar anda atau nama anda kerana sebab-sebab tertentu.

Anda masih ingat Marz Aziz yang kononnya ada skandal dengan seorang bekas Exco Kedah dalam blog www.pantangdicuit.blogspot.com? Rupa-rupanya Marz Aziz jadi mangsa penyamaran.

Subhanallah, subhanallah, subhanallah.Hari ini saya bertemu dengan Marz Aziz yang sebenar. Wahai Sofia Abdullah yang menyamar sebagai Marz Aziz, kembalilah ke pangkal jalan. Jangan anaiya kawan awak. Dahlah awak rampas suami dia. Bertaubatlah Cik Sofia Abdullah.Hentikanlah guna nama Marz Aziz.

Rabu, Januari 18, 2012

CEO LHDN KENA LETAK JAWATAN


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak ada pengalaman mengurus pembahagian wang kepada orang ramai seperti yang dibuat sekarang pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Oleh itu saya hairan juga kenapa PM menyerahkan tanggungjawab ini kepada LHDN.

Pejabat Daerah di Terengganu ada pengalaman mengurus pembahagian dana khas kepada rakyat Trengganu sejak tahun 2000 lalu. Maka apa yang dibuat oleh LHDN menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat Terengganu yang sudah biasa menerima wang dana hari raya.

Sepatutnya bila LHDN tiada pengalaman belajarlah mengurus pembayaran wang seperti ini daripada pejabat daerah Terengganu. Sebaliknya CEO LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Haji Mahfar berlagak bodoh sombong. Bila bayaran bermula 15 Januari lalu kelam kabut dibuatnya bila orang ramai menyemak nama tiada dalam senarai penerima. Lebih memalukan nombor yang diberi untuk semak nama iaitu talian 1800222500 atau 1300883010 tidak pernah dapat.

Adakah LHDN menipu orang ramai? Kalaulah begini cara LHDN bekerja, ia backfire kepada BN. Atau adakah CEOnya orang pembangkang cuba sabotaj Datuk Seri Najib? Rakyat marah kepada BN gara-gara LHDN tidak cekap. Sepatutnya Datuk Dr Shukor letak jawatan. Buat malu saja nak urus pembayaran seperti ini pun tak tahu. Pergilah belajar dengan pegawai daerah di Terengganu cara nak urus bayaran dana hari raya.

hasrat Najib beri Rm500 kepada rakyat Malaysia amat dihargai tapi cara LHDN bekerja buat rakyat marah kepada BN. Jadi letak jawatanlah Dr Shukor.

Selasa, Januari 17, 2012

MB KATA SENARAI CALON BELUM DIHANTAR


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga ini beliau belum diminta menghantar senarai calon BN oleh Perdana Menteri.

Katanya, jika ada orang mendakwa sudah ada senarai calon BN di setiap DUN di Terengganu, dakwaan itu adalah karut semata-mata.

"Saya belum diminta Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar senarai calon dari negeri ini," tegas beliau ketika berucap di majlis penyampaian dana khas sempena sambutan tahun baru Cina di Dewan Seri Amar, Cukai, Kemaman di sini pagi ini.

Dalam ucapannya juga beliau meminta masyarakat Cina terus mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang terutamanya di DUN Chukai yang mempunyai 4 ribu pengundi Cina.

Katanya, walaupun undi sulit tetapi kita tahu trend pengundi Cina di peti undi majoriti kaum itu di DUN Cukai sama ada mereka mengundi BN atau tidak.

Katanya, kerajaan BN tidak pernah memilih kasih dalam memberi bantuan kepada semua kaum. Majlis itu turut dihadiri ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar dan ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman.

Dalam pilihanraya umum lalu, calon BN di Cukai, Mohamed Awang Tera mengalahkan calon PAS, Hanafiah dengan majoriti 700 undi lebih. Beliau dikatakan mendapat majoriti yang rendah kerana masyarakat Cona dikatakan menyokong calon PAS.

Ahmad Said menyelar sikap pembangkang yang disifatkannya sebagai peraih durian. Katanya, musim durian peraih datang emmbeli durian dari pekebun durian. Lepas musim durian, peraih buat tak kenal pekebun durian walaupun terjumpa dalam kedaui kopi.

"Itulah perangai parti pembangkang seperti peraih durian," katanya lagi.

Jumaat, Januari 13, 2012

NAZRI SALLEH DALAM KENANGAN


Bekas Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Nazri Salleh,55, meninggal dunia di Kuala Lumpur malam tadi. Beliau lama sakit barah dan beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 8 malam tadii.

Nazri adalah bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad). Pada tahun 1986, beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Kemaman mengalahkan Haji Khalid Karim dan Yahya Abdul Rahman.

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Wan Mokhtar sehingga tahun 1990. Pada tahun 1987, selepas UMNO diharamkan beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda penaja UMNO (baru).

Pada tahun 1989, beliau mengalahkan Ghani Zahari untuk jawatan ketua pemuda. pada tahun 1993, beliau kalah kepada ADUN Kijal, Ahmad Said bagi jawatan tersebiut dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan Nazri-Ahmad Said-Md Rahim Husin.

Bagaimanapun pada tahun 1993, beliau menang ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman. Pada tahun 2000, beliau bertanding jawatan timbalan ketua bahagian tetapi tewas kepada Ahmad Shabery Cheek. Bagaimanapun pada tahun 2004 beliau menang AJK bahagian dan mengekalkan jawatan yang sama pada tahun 2008.

Pada tahun 1993, saya telah menulis buku DILEMA YUSOF NOOR yang memuatkan satu bab pertandingan ketua pemuda antara beliau dengan Ahmad Said.

Pelbagai keburukan beliau saya dedahkan dalam buku tersebut tetapi bila saya jumpanya di Kuala Lumpur selepas buku itu terbit, beliau tidak marahi pun saya. Ternyata beliau seorang yang berjiwa besar berbanding dengan Rahman Bakar yang memarahi saya di pejabat Dr Yusof Noor gara-gara penerbitan buku tersebut.

Ketika itu Nazri, Rahman Bakar dikatakan terlibat dalam gerakan pemuda Umno untuk menjatuhkan Wan Mokhtar sebagai MB Terengganu. Idris Jusoh yang mengetuai pemuda negeri untuk memboikot konvesyen UMNO Terengganu telah lari ke Jordan manakala Nazri selaku naib ketua pemuda negeri terpaksa memikul beban itu.

Al fatihah buat beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Khamis, Januari 12, 2012

KAYVEAS TIADA DALAM SENARAI CALON


Nama Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas tidak terdapat dalam senarai bakal calon parti itu untuk pilihan raya umum ke-13 nanti yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama Rabu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada bertanding atau tidak kepada Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

"PPP memang telah menghantar senarai nama calon yang berpotensi untuk bertanding dalam PRU ke-13 nanti dan nama saya tidak terdapat dalam senarai itu walaupun ahli parti mahukan saya bertanding semula. Biarlah Datuk Seri Najib putuskan sama ada saya bertanding atau tidak.

"Saya mengambil pendirian itu kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang telah berjasa lama. Mereka telah memberi sumbangan besar kepada parti dan masyarakat. Jadi pemimpin-pemimpin itu perlu diberi peluang. Mereka perlu menang dan menguatkan BN," katanya.

PPP telah mengemukakan hasrat bertanding di empat kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri kepada Najib.

Pada pilihan raya umum lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu kawasan Parlimen Taiping dan kawasan DUN Pasir Bedamar.

Di Taiping, Kayveas tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming dengan 11,298 undi manakala bagi kerusi Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada Seah Leong Peng daripada DAP dengan 7,914 undi.

Kayveas, yang menjadi Presiden PPP sejak 1993, juga berkata beliau akan melepaskan jawatan itu kepada Naib Presiden Kanan yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin D'Cruz sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum nanti.

"Kalau saya tidak bertanding dalam PRU ke-13, selepas pilihan raya nanti saya akan melepaskan jawatan presiden. Biarlah pemimpin baru menerajui PPP. Saya boleh menjadi penasihat parti," katanya.

PPP yang ditubuhkan pada 1953 pada asalnya merupakan parti pembangkang sehingga ia menyertai BN pada 1974.

Parti itu kini mempunyai 500,000 orang ahli di 3,000 cawangan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada November 2006, Kayveas mencadangkan PPP dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bergabung tetapi ia tidak menjadi realiti.

Isnin, Januari 09, 2012

HAKIM BEBAS DAN PILIHAN RAYA KIAN HAMPIR


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah. Ini bermakna hakim yang mengadili kes itu adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana orang politik.

Ia juga menunjukkan pilihan raya umum kian hampir. Jika hari ini mahkamah memutuskan Anwar bersalah, pilihan raya terpaksa ditunda kepada tahun hadapan. Maka BN akan berhadapan dengan pembangkang seawal Mac ini dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan menentukan hidup atau mati BN.

Ada yang mengatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak adalah PM terakhir selepas berakhirnya teori RAHMAN. Rahman bermula dengan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957, diikuti oleh Tun Razak (1970), Tun Hussein Onn (1976), Tun Dr Mahathir Mohamad (1981), Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003) dan Najib (2009). Benarkah teori Rahman akan berakhir?

Sejauh mana transformasi yang dijalankan Najib dapat diterima rakyat? Ia akan terjawab pada pilihan raya umum ini sama ada BN terus kekal atau tidak memerintah Malaysia? Adakah pembangkang semakin kuat bila Anwar dibebaskan? Dapatkah Anwar menjadi PM Malaysia selepas pilihan raya umum ini?

Parlimen dijangka dibubar pada bulan Februari ini selepas perayaan Chap Goh Meh dua minggu selepas hari raya Cina. Oleh itu bersiap-sedialah menghadapi pilihan raya umum yang paling sengit dalam sejarah politik Malaysia.

Sabtu, Januari 07, 2012

BAYAR DULU HUTANG MARA SEBELUM AMBILALIH PROTON


Tan Sri Nazmi Salleh nak ambilalih Proton. Sebelum beliau nak ambil alih, kita mahu beliau bayar dulu hutang MARA RM40 juta. Janganlah jadi keparat yang tak tahu bayar hutang MARA tetapi senang senang beliau mahu ambilalih Proton.

Sebagai Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menasihati supaya Nazmi bayar hutanag RM40 juta terlebih dahulu. Beliau dapat penswastaan Mara Holdings pun di zaman Dr Mahathir jadi PM. Kesian MARA berhempas pulas menuntut hutang RM40 juta tetapi Nazmi enggan membayarnya.

Rabu, Januari 04, 2012

CIKGU LAM SERING TURUN PADANG DI BUKIT TUNGGAL





Bukannya mudah untuk merampas kembali kerusi DUN Bukit Tunggal dalam parlimen Kuala Nerus di Terengganu. Kerusi itu sering bertukar tangan. Pada tahun 1990, Semangat 46 pernah memenangi kerusi itu. Pada tahun 1995, ia beralih ke tangan BN semula.

Pada tahun 1999, PAS merampasnya dari BN. Pada tahun 2004, BN memenanginya semula melalui Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan pada tahun 2008, PAS merampasnya semula melalui Dr. Alias Razak.

Bagaimanakah nasib Dr Alias pada pilihan raya umum 2012? Mampukah beliau mengekalkan kerusi Bukit Tunggal? Ia banyak bergantung kepada siapa calon BN yang akan diletakkan di situ.

Tinjauan risikan agensi-agensi kerajaan seperti SB,MIO, KEMAS, JASA dan JPM di Bukit Tunggal menunjukkan bahawa rakyat setempat menyenangi Ketua Penerangan DUN Bukit Tunggal, Wan NoorIslam bin Wan Hashim. Beliau yang aktif dalam NGO dan akvititi kemasyarakatan lebih dikenali sebagai Cikgu Lam.

Cikgu Lam adalah seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus yang rajin turun padang. Setiap kali ada program dalam DUN, beliau terlibat sama. Oleh itu pucuk pimpinan kena dengar suara akar umbi jika mereka mahu lihat BN merampas kembali kerusi DUN Bukit Tunggal dari tangan PAS.

Selasa, Januari 03, 2012

ZAMBRY LEBIH SUKA BN KALAH DIPERAK


Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan memilih semula calon-calon yang tewas pada pilihan raya umum lepas untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata BN negeri telah mengumpul pelbagai maklumat dan maklum balas daripada orang ramai mengenai calon-calon yang tewas dalam pilihan raya umum sebelum ini.

"Mungkin calon-calon ini kalah tipis atau menang tipis dalam pilihan raya umum sebelum ini...tetapi kita harus tahu apakah sebab-sebab yang menyebabkan kekalahan itu.

"Bagi saya ada di antara mereka sebenarnya boleh menang tetapi disebabkan tsunami politik yang berlaku menyebabkan mereka tewas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Laluan Alternatif Bercham ke Lebuhraya Utara-Selatan di sini, hari ini.

Katanya hasil maklumat yang dikumpulkan mendapati terdapat permintaan daripada orang ramai supaya calon yang tewas dicalonkan semula bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Zambry berkata maklum balas itu juga mendapati orang ramai turut melahirkan rasa kesal kerana tidak mengundi calon-calon yang tewas itu pada pilihan raya umum lepas.

"Apabila saya turun padang, saya tidak hanya berjumpa dengan anggota Umno dan BN tetapi turut bertemu dengan peniaga dan masyarakat lain. Pelbagai maklum balas yang diterima mengenai perkara ini," katanya.

Katanya beliau mendapati terdapat calon-calon yang tewas terus menjalankan tugas membantu masyarakat dan perkara itu memberi kelebihan kepada mereka untuk dicalonkan semula.

Ulasan saya, kalau Zamby masih letak calon yang kalah sebagai calon BN nampak sangat dia tidak mahu BN menang di Perak. Adakah pemuda tidak boleh ditonjolkan sebagai calon? Tiada orang baru ke yang layak jadi calon sehingga perlu meletak orang yang kalah?

Terbuka sikitlah Zambry. Jangan terlalu percaya kepada ketua bahagian yang mahu mengekalkan kuasa. Berilah peluang kepada orang baru. Kenapa DAP berjaya? Kerana DAP lebih banyak mengemukakan muka baru sebagai calon DAP. Oleh itu tak perlulah Zambry meletakkan calon kitar semula.

Isnin, Januari 02, 2012

RAKYAT SELANGOR MULA SEDAR


Rakyat Selangor perlu menzahirkan kekecewaan mereka terhadap kepimpinan kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk memerintah semula negeri itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata rakyat Selangor dilihat mula sedar dan bangkit untuk menolak kerajaan negeri sedia ada yang jelas tidak memperlihatkan perubahan positif melainkan hanya menjanjikan retorik dalam ceramah mereka.

"Ini hakikat yang menjadi realiti di Selangor, mereka marah, menyesal dengan keputusan pada pilihan raya umum lepas disebabkan rasa marah pada seseorang dan pemimpin tempatan di kawasan mereka.

"Tetapi bila marahkan nyamuk kelambu dibakar, mereka terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Oleh sebab itu, kebangkitan semula BN di Selangor, apatah lagi di bawah pimpinan Perdana Menteri sebagai pengerusi BN Selangor, ia akan dapat memperkasa semula sokongan rakyat terhadap BN," katanya semasa merasmikan Karnival Sayangi Selangor anjuran BN Selangor di i-City malam Khamis.

Turut hadir Pengarah Operasi Karnival Sayangi Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Chua Tee Yong serta pemimpin kanan BN Selangor.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata pada masa sama, jentera BN di Selangor termasuk di peringkat Pusat Daerah Mengundi, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, perlu menghayati sokongan rakyat yang kian meningkat dengan bekerja keras serta mengetepikan perselisihan peribadi serta perbuatan 'cah keting bagi memastikan kejayaan BN.

Selain itu, beliau berkata BN kini memberi tumpuan kepada golongan muda atau generasi X dan Y, mewakili 38.8 peratus pengundi, yang sedar dengan transformasi parti di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata karnival tersebut adalah pemangkin untuk menjadi kayu pengukur sejauh mana program yang diatur BN mendapat sambutan orang ramai.

Ini dapat dilihat daripada kehadiran 100,000 orang ke karnival selepas dua hari berlangsung, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 300,000 sehingga Sabtu ini, katanya.

Karnival Sayangi Selangor berlangsung empat hari mulai semalam dengan acara kemuncaknya iaitu Sambutan Tahun Baru 2012, akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahad, Januari 01, 2012

JAMIL NAFI SELEWENG WANG ZAKAT


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.

Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.

"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.

Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.