Rabu, Ogos 23, 2017

MUSA HITAM CADANGKAN RCI MEMALI SELEPAS PRU14

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali, jika ditubuhkan harus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagi mengelak disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi.

Musa berkata suasana politik negara yang tenang dan tenteram selepas pilihan raya akan dapat menghindarkan dan mengelak daripada berlakunya apa juga niat serong mana-mana pihak untuk memperalatkan dan melakukan eksploitasi politik terhadap tragedi yang telah melibatkan kehilangan nyawa itu.

Menurut beliau, menangguhkan penubuhan suruhanjaya itu juga adalah lebih bijak dan lebih menepati tujuan, penubuhan dan prosiding suruhanjaya bagi menyiasat peristiwa itu.

"Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran secara hakiki," katanya dalam kenyataan media.

Musa yang merupakan Menteri Dalam Negeri semasa peristiwa Memali pada 19 Nov 1985, berkata beliau tidak ada masalah dengan penubuhan suruhanjaya itu asalkan ia adalah dengan niat betul untuk mencari fakta dan kebenaran tanpa sebarang prejudis, dan penubuhannya didasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang negara..