Khamis, Februari 08, 2018

AHMAD HAMZAH BAKAL KETUA MENTERI UNGKAPAN DI KEDAI KOPI

BANGI: Desas desus mengatakan Datuk Seri Ahmad Hamzah adalah bakal Ketua Menteri Melaka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) merupakan ungkapan kedai kopi dan dicanang oleh orang tertentu tanpa mengetahui tujuan mereka berbuat demikian.

Sebaliknya Ahli Parlimen Jasin itu berkata beliau sudah terlalu lama berkecimpung dalam lanskap politik negeri dan nasional dan kini sampai masanya beliau memikirkan perkara lain dan bukannya mengenai jawatan Ketua Menteri Melaka sepertimana dihebohkan oleh banyak pihak.

"Jangan cakap (tulis) macam ini. Nanti orang marah," katanya ketika wartawan MH Online menujukkan berita bertajuk 'AHMAD HAMZAH KETUA MENTERI MELAKA? menerusi telefon bimbit wartawan MH Online.

Berita tersebut tersiar dalam ruangan Catatan Zabidi baru-baru ini.

Datuk Seri Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata beliau telah berkecimpung dalam politik iaitu melebihi 23 tahun dan memahami asam garam politik.

"Sudah 23 tahun saya masuk politik ni. Saya ingat tak payah cakaplah pasal jawatan Ketua Menteri. Nanti banyak orang marah kat saya,"katanya ketika di temui dipejabatnya di MPOB, semalam.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Mohamed dalam kenyataannya kepada media memberitahu Datuk Seri Ahmad banyak pengalaman dalam arena politik negeri dan nasional.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Melaka (sebanyak dua kali) dan kini Ahli Parlimen Jasin dan diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri menduduki jawatan Pengerusi MPOB.

Sehubungan itu katanya Datuk Seri Ahmad boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu selepas PRU ke-14 nanti.

Datuk Seri Ahmad sejujurnya berkata beliau baru tahu namanya dikaitkan untuk menduduki jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan Melaka itu setelah dimaklumkan oleh media.

Pada hal beliau sama sekali tidak pernah bercakap mengenai perkara tersebut sama ada kepada media ataupun rakan-rakan politiknya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta pihak media menghentikan cakap-cakap mengenai perkara tersebut kerana bimbang banyak pihak akan terguris hati apabila membaca berita itu nanti.

Sebaliknya beliau meminta semua pihak termasuklah media memainkan peranan dengan memaparkan berita kegiatan ahli politik di seluruh negara daripada menulis berita yang tidak tentu hujung pangkalnya.

"Kegiatan ahli politik Umno dan BN yang setiap masa turun padang lebih baik diketengahkan supaya rakyat tahu wakil mereka buat kerja untuk mensejahterakan mereka," katanya.