Sabtu, Februari 10, 2018

JKM PERLU SAHKAN ANAK ANGKAT UNTUK MUDAHKAN PERSEKOLAHAN

KUALA BERANG, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan menasihatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan terhadap anak jalanan yang dijadikan anak angkat di institusi kebajikan itu bagi memudahkan proses pendaftaran kemasukan ke sekolah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mempunyai dokumen yang disahkan sebelum mereka dibenarkan bersekolah.

Katanya proses sama turut perlu dilakukan oleh mana-mana ibu bapa yang memelihara anak angkat warga asing supaya mereka mendapat pendidikan sewajarnya seperti kanak-kanak lain.

"JKM perlu membuat satu deklarasi yang menyatakan atau mengesahkan kanak-kanak itu dijumpai di mana dan berapa lama dipelihara oleh JKM. Serupa juga ibu bapa angkat...dia kena ada ikatan perundangan daripada JKM atau pihak mahkamah bagi menyatakan kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara secara sah dan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu di sini hari ini.