Sabtu, Februari 03, 2018

ZAHID KAGUM DENGAN KEBOLEHAN ANAK SYRIA BERUSIA 6 TAHUN MENYANYI DALAM BAHASA MELAYU

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menjadi penyokong kuat kepada perjuangan Palestin dan Syria bagi kebebasan mutlak dan kemakmuran rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan secara aktif dan menyuarakan pandangannya dalam menyokong penyelesaian konflik di Syria dan perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan memerdekakan wilayah mereka.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia melakukan usaha ini pada masa lalu dan akan meneruskan sehingga Palestin bebas dan menubuhkan sebuah negara merdeka.

"Kerajaan juga akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Syria yang datang ke Malaysia," katanya ketika berucap pada pelancaran Program Memperkasa Pelarian Kanak-Kanak (Program Kanak-Kanak Pintar) di kediaman rasmi beliau, Seri Satria, di sini, malam ini.

Beliau berkata Malaysia menerima 3,000 rakyat Syria di bawah Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang membolehkan mereka untuk menetap, bekerja, menerima perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

Justeru, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) atas peranan penting pertubuhan itu sehingga menjayakan pelaksanaan PPSMS serta menyediakan khidmat dan sokongan kepada saudara Syria di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, secara umum rakyat Malaysia merasakan kesucian Baitulmuqaddis perlu dipertahankan kerana ia adalah tempat bagi rakyat Palestin, umat Islam dan penganut Kristian.

"Walaupun berada jauh, rakyat Malaysia percaya Masjid Al-Aqsa dan Palestin adalah milik rakyat Palestin. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan membebaskannya daripada penaklukan dan penindasan," katanya.

Mengenai program kanak-kanak itu, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan membangunkan pengetahuan kanak-kanak pelarian Palestin dan Syria di Malaysia serta tahap pemahaman sains asas mereka.

Beliau berkata program itu akan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran sosial dan praktikal kanak-kanak pelarian tersebut. Beliau kagum persembahan anak anak Syria dan Palestine menyanyi dalam Bahasa Melayu dan menari tarian inang.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

-- BERNAMA