Rabu, Mei 16, 2018

DATUK NORDIN SAMBUT BAIK KERAJAAN PH MAHU GANTI BALIK DUIT CUKAI TAMBAHAN



KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan, Datuk Nordin Ahmad menyambut baik pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapatnya peniaga dan individu yang 'ditekan' dengan dipaksa membayar cukai yang lebih daripada sepatutnya ketika era pemerintahan sebelum ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya akan cuba mengganti semula wang yang dikutip secara haram itu, namun, memerlukan mereka yang teraniaya itu tampil memberikan maklumat.

"Kita ingin tahu siapa yang dipaksa ini. Berapa banyak mereka terpaksa bayar dan kita akan cuba ganti balik wang yang dikutip secara haram ini. Kita nak kena tahu daripada mereka sendiri apakah mereka sudah bayar cukai sepenuhnya."

"Mereka didekati internal revenue (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan dipaksa oleh internal revenue supaya bayar. Dan kalau tak bayar, mereka akan didera dengan di blacklist (senarai hitam), tak boleh keluar negara dan ada kala pasport ditarik balik atau raids (serbuan) diadakan, buku akaun dirampas dan mengganggu perniagaan," kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sesi penerangan kepada RTM dan Bernama di kediamannya di Seri Kembangan di sini, Ahad lalu.

Nordin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Vas Aero Sdn Bhd berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan PH yang mahu mengganti semula wang yang dikutip oleh LHDN.

Beliau telah menerima surat dari LHDN pada 4 Mei lalu yang meminta syarikat beliau membayar cukai tambahan pada tahun 2013 sebanyak RM343,003.75 manakala penalti yang perlu dibayar sebanyak RM153,901.69.

Bagi tahun 2014 beliau dikenakan membayar cukai tambahan sebanyak RM166,769.00 manakala penalti sebanyak RM75,046.05.

Bagi tahun 2015 Vas Aero dikenakan bayar cukai tambahan sebanyak RM401,904.75 dan penalti sebanyak RM180,857.14 dan bagi tahun 2016 cukai tambahan sebanyak RM57,716.88 dan penalti sebanyak RM25,972.80

"Ini bermakna cukai tambahan yang dikenakan kepada syarikat saya dari tahun 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sebanyak RM988,394.38 dengan penalti sebanyak RM435,777.48, "katanya sambil menambah jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM1,404,171.86

Beliau percaya lebih ramai lagi ahli perniagaan akan tampil menyokong usaha Perdana Menteri untuk memulangkan kembali bayaran cukai tambahan yang dikenakan oleh LHDN.