Ahad, Mei 06, 2018

MRSM AKAN DIBINA DI SEMENYIH AGENDA UTAMA JOHAN




BERANANG: Calon DUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berikrar jika BN menang semula di DUN tersebut beliau akan meminta kerajaan membina MRSM dalam kawasan DUN tersebut.

Katanya, selaku ahli majlis MARA, beliau telah banyak merekomen anak Semenyih memasuki MRSM tetapi alangkah baiknya kalau MRSM dapat dibina di Semenyih sendiri.

"Saya berjanji jika saya menang pembinaan MRSM akan menjadi agenda utama saya," katanya ketika bersarapan dengan para pengundi Fasa 9, Bandar Tasik Kesuma di sini pagi tadi.

Turut hadiri majlis tersebut ialah calon parlimen Hulu Langat, Azman Ahmad serta ketua Umno cawangan Fasa 9, Bandar Tasik Kesuma, Kamarulzaman.

Beliau menyeru para pengundi memilih BN pada 9 Mei ini untuk meneruskan pembangunan di Hulu Langat.

"Amat sedih masalah air tidak selesai di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Oleh itu rakyat Selangor perlu membuat pilihan yang bijak pada 9 Mei ini," katanya lagi.

Johan yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat berseloroh jika BN dapat tawan semula negeri Selangor beliau mengajak semua pengundi Fasa 9 berjalan kaki dari Bandar Tasik Kesuma ke Shah Alam.


Di majlis tersebut, calon parlimen Azman Ahmad,58,  turut memperkenalkan diri sebagai calon parlimen. Beliau adalah anak tempatan yang lahir di Sesapan Kg Batu Minangkabau, Beranang.

Lulusan Universiti Malaya pada tahun 1983, Azman adalah bekas Naib Presiden 1 Ambank (M) Berhad dan beliau adalah Pengerusi Pertubuhan Gagasan Perihatin Semenyih dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Krisis Air Semenyih.

Azman berjanji jika beliau menang beliau akan pastikan kerajaan BN menyediakan rumah milik dalam parlimen Hulu Langat, menjadikan Hulu Langat sebagai eco tourism dan menaikkan pusat kesihatan Semenyih dan Beranang serta membina kompleks jagaan warga emas dan OKU.