Sabtu, Januari 27, 2018

BANYAK PARTI BERTANDING BERI KELEBIHAN KEPADA BN

GUA MUSANG, 25 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan banyak parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenanginya.

Beliau berkata ini kerana parti yang bertanding itu bakal berdepan dengan pecahan undi terutama apabila calonnya yang tiada pengaruh.

Katanya parti pembangkang yang bakal bertanding pada PRU14 adalah daripada serpihan parti asal yang belum mendapat keyakinan rakyat khususnya penduduk luar bandar untuk menyokong parti tersebut.

"Kita (BN) sudah terbukti mendapat sokongan majoriti pengundi pada PRU sebelum ini dan saya yakin BN kekal menerima sokongan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, yakin BN tiada masalah untuk mencapai kemenangan namun sama ada akan mendapat majoriti yang lebih besar atau tidak bergantung kepada sokongan rakyat terhadap BN.

Mengenai tindakan pembangkang yang banyak menyentuh peribadi pemimpin negara terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Razaleigh berkata perjuangan pemimpin parti politik hendaklah berdasarkan kepada pembelaan rakyat dan bukan soal peribadi yang di luar tatacara politik.

-- BERNAMA